Muhyiddin minta Puad Zarkashi mohon maaf, ganti rugi RM10 juta
KUALA LUMPUR:Tan Sri Muhyiddin Yassin menuntut anggota Majlis Tertinggi UMNO Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi memohon maaf secara terbuka dan membayar ganti rugi sebanyak RM10 juta kerana didakwa memfitnah Perdana Menteri menerusi hantaran di Facebook minggu lalu.
Dalam surat tuntutan dihantar firma guaman Rosli Dahlan Saravana Partnership kepada Mohd Puad semalam, Muhyiddin, antara lain, menuntut Mohd Puad memadam kenyataan bertarikh 9 Feb mengenai kuarantin dari laman Facebooknya.
Tuntutan itu dibuat terhadap kenyataan Mohd Puad bahawa Muhyiddin enggan dikuarantinkan sekembalinya dari lawatan rasmi dari Jakarta pada 5 Feb lalu sehingga kerajaan terpaksa mewartakan perintah kuarantin tiga hari terhadap menteri.
“Kami diarahkan bahawa kenyataan tersebut mengandungi maklumat tidak benar, tidak berasas dan berniat jahat,” menurut surat tuntutan yang ditandatangani oleh peguam Muhyiddin.
Firma guaman itu juga diarah untuk menuntut Mohd Puad menyatakan permohonan maaf secara terbuka disiarkan secara jelas dan segera di laman Facebooknya dan semua portal berita dan media sosial yang menyiarkan kenyataan yang didakwa berunsur fitnah itu.
Selain itu, Mohd Puad juga dituntut mengeluarkan aku janji bertulis untuk tidak mengulangi atau menerbitkan kenyataan sama atau seumpama itu dalam apa jua cara sekalipun.
“Kami diarahkan untuk menuntut agar bersetuju untuk membayar pampasan kepada anak guam kami sejumlah RM10 juta dan jika gagal menunaikan tuntutan dalam masa tujuh hari dari tarikh surat ini, maka kami akan mengambil tindakan guaman terhadap anda,” katanya.
Difahamkan surat tuntutan tersebut dihantar melalui e-mel dan juga diserahkan secara tangan kepada Mohd Puad semalam.
Pada 9 Feb lalu, Pejabat Perdana Menteri dalam kenyataan menafikan sekeras-kerasnya fitnah yang dibuat oleh Mohd Puad kononnya perintah kuarantin tiga hari untuk Menteri yang melakukan lawatan ke luar negara diwartakan oleh kerajaan kerana Perdana Menteri enggan dikuarantinkan sekembalinya dari lawatan rasmi ke Indonesia.
17 February 2021
Related Posts
See All4 April 2023 PUTRAJAYA (April 4): A three-member Court of Appeal (COA) bench has upheld the High Court’s decision in granting leave to Petronas Trading Corporation Sdn Bhd (Petco) to commence judicial
16 December 2022 KUALA LUMPUR (Dec 13) : The Yang di-Pertuan Besar of Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir, has proposed that the Judicial Appointments Commission (JAC) Act 2009 be made part
16 December 2022 KUALA LUMPUR: Former High Court and Court of Appeal judge Datuk Seri Hishamudin Yunus was honoured on Wednesday for his “unflinching commitment to judicial independence” during the la