Mahkamah benarkan 1MDB sampaikan writ saman di luar negara
KUALA LUMPUR: 1Malaysia Development Berhad (1MDB) mendapat kebenaran Mahkamah Tinggi, hari ini, untuk menyampaikan writ samannya terhadap enam pihak termasuk dua syarikat perbankan, di luar negara.
Pesuruhjaya Kehakiman, Quay Chew Soon, membenarkan permohonan 1MDB untuk kebenaran menyerahkan writ saman itu kepada defendan yang berada di luar negara.
Enam pihak itu ialah syarikat perbankan Coutts & Co Ltd dan J.P. Morgan (Switzerland) Ltd; dua syarikat yang diperbadankan di Arab Saudi iaitu Petrosaudi International Limited dan Petrosaudi Holdings (Cayman) Limited; serta dua individu masing-masing warga Arab Saudi, Tarik Isam Ahmed Obaid (Tarik Obaid) dan warga Britain, Patrick Andrew Marc Mahony (Patrick Mahony).
Kesemua pihak itu merupakan defendan kedua hingga ketujuh dalam tuntutan saman difailkan 1MDB bernilai AS$1.83 bilion, antaranya atas dakwaan melanggar kontrak, cuai dan melakukan konspirasi jenayah bagi penyelewengan dana 1MDB.
Perkara itu disahkan oleh peguam dari Messrs. Rosli Dahlan Saravana Partnership ketika dihubungi Bernama, di sini, hari ini.
"Ya, kami sahkan bahawa hari ini ditetapkan untuk mendengar permohonan plaintif bagi kebenaran bagi menyampaikan notis writ di luar bidang kuasa terhadap defendan di luar negara.
"Selepas mendengar hujah peguam plaintif, mahkamah mengeluarkan perintah yang membenarkan permohonan kami. Mahkamah turut menetapkan 8 November depan sebagai tarikh untuk pengurusan kes berikutnya," kata peguam 1MDB itu selepas prosiding secara maya.
Beliau memaklumkan setakat hari ini, defendan pertama, Deutsche Bank (Malaysia) Bhd telah disampaikan writ saman itu.
1MDB selaku plaintif secara ex parte telah memfailkan notis permohonan itu secara berasingan pada 27 Ogos lalu, untuk mengeluarkan dan menyampaikan writ saman serentak bagi penyampaian di luar bidang kuasa.
Defendan pertama, Deutsche Bank, adalah pihak tempatan, dan Peraturan Mahkamah membenarkan permohonan dibuat terhadap defendan kedua hingga kelima walaupun mereka berada di luar Malaysia, antara lain di Zurich dan Geneva, Switzerland; Al Khobar di Arab Saudi; serta Grand Cayman di Kepulauan Cayman, sementara defendan keenam, Tarik Obaid, adalah penduduk Al-Khobar, Arab Saudi, dan defendan ketujuh, Patrick Mohany di London, Britain.
Dalam permohonan itu, plaintif turut memohon kebenaran untuk menyampaikan writ saman serentak terhadap semua defendan di mana saja mereka boleh ditemukan.
Pada 7 Mei lalu, 1MDB memfailkan saman itu dengan menamakan Deutsche Bank (Malaysia) Bhd, Coutts & Co, J.P. Morgan (Switzerland), Petrosaudi International, Petrosaudi Holdings (Cayman), Tarik Obaid dan Patrick Mahony sebagai defendan pertama hingga ketujuh.
Plaintif mendakwa kesemua defendan cuai, melanggar kontrak dan berkonspirasi untuk menipu 1MDB sehingga menyebabkan kerugian kepada syarikat berkenaan serta menjejaskan reputasi dan nama baik 1MDB.
15 October 2021
Related Posts
See All22 August 2023 KUALA LUMPUR (Aug 22): The High Court on Tuesday (Aug 22) granted Tenaga Nasional Bhd’s judicial review application to set aside RM3.977 billion in tax assessment for the years 2015 to
28 August 2023 Shell Gas Holdings (Malaysia) Ltd has obtained a Court of Appeal order to stay a ruling for the oil and gas company to pay tax assessment of nearly RM890 million. The appellate court to
4 April 2023 PUTRAJAYA (April 4): A three-member Court of Appeal (COA) bench has upheld the High Court’s decision in granting leave to Petronas Trading Corporation Sdn Bhd (Petco) to commence judicial