top of page

Mahkamah benar injunksi ad interim Muhyiddin Yassin

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini, hari ini, membenarkan permohonan perintah injunksi ad interim oleh Tan Sri Muhyiddin Yassin bagi menghalang Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi daripada menerbitkan semula kenyataan fitnah membabitkan Perdana Menteri itu berhubung perintah kuarantin di akaun Facebook milik Mohd Puad.


Hakim Datuk Seri Mohd Firuz Jaffril membenarkan permohonan peguam Rosli Dahlan yang mewakili Muhyiddin ketika kes ditetapkan untuk perbicaraan inter-parte (antara pihak) yang ditetapkan hari ini.


Ketika ditemui media, Rosli berkata, Mohd Puad ada memfailkan afidavit mengetepikan perintah injunksi ex parte di saat akhir iaitu semalam.


Sehubungan itu, beliau berkata, pihaknya memohon permohonan perintah injunksi ad interim untuk menyambung perintah ex parte yang akan tamat pada 21 Mac.


"Mahkamah membenarkan permohonan perintah itu (ad interim) dengan terma sama sehingga pelupusan perintah inter parte (antara pihak).


"Mahkamah kemudian menetapkan 24 Mei ini untuk mendengar permohonan kedua-dua pihak," katanya.


Pada prosiding itu, peguam Datuk DP Naban dan Joseph Wong bertindak bagi pihak Muhyiddin, manakala peguam G Rajasingam, Shahrul Fazli Kamaruzaman, Mohamed Baharudeen Mohamed Arif dan Nur Aini Zatulfarhama mewakili Mohd Puad.


Sebelum ini, Mahkamah Tinggi membenarkan injunksi sementara bagi menghalang Mohd Puad selaku defendan atau ejennya, wakilnya atau sesiapa saja daripada menerbitkan, menyiarkan dan berkongsi semula hantaran membabitkan kenyataan fitnah berhubung perkara itu menerusi akaun Facebook milik Mohd Puad sehingga 21 Mac ini.


Pada 1 Mac lalu, Muhyiddin yang memfailkan writ saman dan penyataan tuntutannya menerusi Tetuan Rosli Dahlan Saravana Partnership, atas kapasiti peribadinya mendakwa pada 9 Februari lalu, Mohd Puad menerbitkan suatu hantaran di laman Facebooknya di bawah nama "DrPuad Zarkashi" bertajuk 'Kuarantin pun ada dua darjat?'.


Dalam saman itu Muhyiddin selaku plaintif mendakwa hantaran itu boleh diakses pengguna internet di seluruh dunia dan menerima lebih 1,200 reaksi, 215 komen serta 182 perkongsian.

Muhyiddin mendakwa hantaran itu merujuk kepada 'PM' iaitu singkatan kepada prime minister atau perdana menteri, selain mendakwa hantaran itu mengandungi penyataan jelas tidak benar, tidak wajar, tidak berasas dan jahat terhadap plaintif serta memfitnahnya.


Read More


12 March 2021




Related Posts

See All

Explore Publications

bottom of page