top of page

COVID-19: Bekas pesakit derita kebimbangan

KUALA LUMPUR: Rasa takut keterlaluan untuk berjumpa orang lain walaupun selepas disahkan sembuh daripada COVID-19, menyebabkan Amiratu Al Amirat Saleh Mohamed Garbaa, 24, menderita masalah derita kebimbangan.


Gangguan psikologi itu dialami susulan impak kuarantin hampir sebulan yang dijalani di Hospital Sungai Buloh, selain di kediaman keluarganya di Shah Alam, dekkat sini.


Amiratu tidak menyangka mengalami ketakutan berjumpa orang ramai kerana bimbang menyebarkan wabak itu walaupun selepas tamat tempoh kuarantin menyebabkan dirinya mengalami masalah psikologi.


“Ketika menjalani proses kuarantin, saya benar-benar rasa keseorangan serta terasing, Pintu bilik saya tidak pernah dibuka sebab saya sendiri yang takut jika menjangkiti orang lain.


“Justeru saya ambil langkah berjaga-jaga yang luar biasa sehingga mengalami ketakutan dan bimbang untuk bertemu orang meskipun sudah habis tempoh kuarantin di rumah.


“Saya mula mendapatkan rawatan daripada perunding psikiatri minggu lalu dan kini keadaan semakin baik....jadi kalau ada pesakit yang turut mengalami simptom seperti saya, tolong dapatkan rawatan,” katanya ketika dihubungi BH, hari ini.


Pelatih peguam di Rosli Dahlan Saravana Partnership disahkan positif COVID-19 pada 10 Mac lalu selepas mengalami simptom batuk, demam panas, lemah badan dan kesukaran bernafas.


Dia menerima rawatan di Hospital Sungai Buloh pada 8 Mac lalu dan dibenarkan pulang pada 16 Mac, sebelum menyambung tempoh kuarantin di rumah sehingga 29 Mac lalu.


Amiratu berkata bekas pesakit COVID-19 perlu dibantu bukan sahaja membabitkan rawatan terhadap wabak itu, tetapi membabitkan aspek kesihatan mental.


Katanya, dia sendiri semakin pulih, malah menjadi bersemangat apabila menjadi bekas pesakit wanita pertama menderma plasma darah yang digunakan sebagai antibodi dalam rawatan jangkitan virus itu, hari ini.


“Saya menderma 600 militer (ml) plasma darah dan berharap dapat melakukannya untuk kali kedua, dijadual dalam tempoh dua minggu lagi.


“Ia sumbangan kecil saya berbanding pengorbanan besar petugas barisan hadapan yang bertempur melawan pandemik ini setiap hari.


“Saya anggap ini tanda penghargaan kepada semua doktor dan jururawat di Hospital Sungai Buloh yang membantu saya untuk kembali sihat,” katanya yang berharap rakyat Malaysia dapat menempuhi tempoh mencabar ini bersama-sama.


Read More


13 April 2020

Related Posts

See All

Explore Publications

bottom of page