1MDB mohon kebenaran serah writ saman US$1.83 bilion
KUALA LUMPUR: 1Malaysia Development Berhad (1MDB) memfailkan permohonan bagi mendapatkan kebenaran untuk mengeluarkan dan menyampaikan writ saman difailkan syarikat itu terhadap enam pihak, termasuk dua syarikat perbankan di luar negara.
Enam pihak itu ialah syarikat perbankan Coutts & Co Ltd dan JP Morgan (Switzerland) Ltd; dua syarikat yang diperbadankan di Arab Saudi iaitu Petrosaudi International Limited dan Petrosaudi Holdings (Cayman) Limited serta dua individu masing-masing warga Arab Saudi, Tarik Isam Ahmed Obaid (Tarik Obaid) dan warga Britain, Patrick Andrew Marc Mahony (Patrick Mahony).
Semua pihak itu adalah defendan kedua hingga ketujuh dalam tuntutan saman difailkan 1MDB bernilai US$1.83 billion antaranya atas dakwaan melanggar kontrak, cuai dan melakukan konspirasi jenayah bagi penyelewengan dana 1MDB.
Berdasarkan salinan dokumen yang diperoleh Bernama menerusi sistem kehakiman hari ini, 1MDB selaku plaintif secara ex-parte memfailkan notis permohonan itu secara berasingan menerusi Tetuan Rosli Dahlan Saravana Partnership di Mahkamah Tinggi di sini, pada 27 Ogos lalu, untuk mengeluarkan dan menyampaikan writ saman serentak bagi penyampaian di luar bidang kuasa.
Permohonan itu difailkan atas alasan defendan kedua hingga kelima menjalankan perniagaan mereka di luar Malaysia antaranya di Zurich dan Geneva, Switzerland; Al Khobar di Arab Saudi dan Grand Cayman di Cayman Islands, manakala bagi defendan keenam dan ketujuh, mereka bermastautin di luar negara iaitu Tarik Obaid di Al-Khobar, Arab Saudi manakala Patrick Mohany di London, Britain.
Dalam permohonan itu, plaintif turut memohon kebenaran diberikan kepadanya untuk menyampaikan notis writ saman serentak terhadap semua defendan, iaitu di mana tempat mereka dapat ditemui.
Berdasarkan hasil semakan di laman web kehakiman, pendengaran permohonan terbabit ditetapkan pada 30 September ini di hadapan Pesuruhjaya Kehakiman Quay Chew Soon.
Pada 7 Mei lalu, 1MDB memfailkan saman itu dengan menamakan Deutsche Bank (Malaysia) Bhd, Coutts & Co, JP Morgan (Switzerland), Petrosaudi International, Petrosaudi Holdings (Cayman), Tarik Obaid dan Patrick Mahony sebagai defendan pertama hingga ketujuh.
Plaintif mendakwa semua defendan cuai, melanggar kontrak dan berkonspirasi untuk menipu 1MDB sehingga menyebabkan kerugian kepada syarikat berkenaan serta menjejaskan reputasi dan nama baik 1MDB.
2 September 2021
Related Posts
See All22 August 2023 KUALA LUMPUR (Aug 22): The High Court on Tuesday (Aug 22) granted Tenaga Nasional Bhd’s judicial review application to set aside RM3.977 billion in tax assessment for the years 2015 to
28 August 2023 Shell Gas Holdings (Malaysia) Ltd has obtained a Court of Appeal order to stay a ruling for the oil and gas company to pay tax assessment of nearly RM890 million. The appellate court to
4 April 2023 PUTRAJAYA (April 4): A three-member Court of Appeal (COA) bench has upheld the High Court’s decision in granting leave to Petronas Trading Corporation Sdn Bhd (Petco) to commence judicial